~ triple ICE is our mission ~

Tuesday, October 26, 2010

Kamu adalah Pemimpin....



              Marilah kita merenung dan menghayati satu hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

 "Tujuh golongan yang dilindungi Allah pada hari (akhirat) yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungannya: iaitu pemerintah yang adil, pemuda yang terdidik di dalam beribadah kepada Tuhannya, seorang lelaki yang hatinya teringatkan kepada masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah di mana mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai pangkat dan kecantikan (untuk melakukan maksiat) tetapi....
lelaki itu menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah", seorang lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah dengan dia menyembunyikan sedekahnya (dari pengetahuan orang ramai kerana ikhlasnya) sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara berseorangan lalu mengalir air matanya."



Pada hari akhirat, semua manusia akan dikumpulkan oleh Allah untuk dihitung amalan masing-masing yang telah dilakukan di atas dunia, dan menunggu keputusan daripada Allah. Pada hari itu, manusia berada di dalam suasana gawat, terasa kepanasan sehingga mengeluarkan peluh, sehingga diceritakan oleh Rasulullah S.A.W. bahawa ada manusia yang tenggelam di dalam peluh sehingga buku lali, ada sehingga pinggang, ada sehingga hidung dan ada yang berenang-renang di dalam peluh, itu semua bergantung kepada amalan masing-masing.

Walaupun pada hari akhirat, seseorang itu tidak ada tempat bergantung melainkan kepada iman dan amalan masing-masing yang dikerjakan semasa di dunia, tetapi masih ada juga mereka yang diberi keistimewaan dan perlindungan oleh Allah. Bukanlah kerana mereka Rasul dan Nabi, mereka adalah manusia biasa tetapi mereka diberi perlindungan oleh Allah kerana telah membuktikan iman dan taqwa mereka kepada Allah.

Di antara mereka yang diselamatkan oleh Allah dengan dilindungi daripada kepanasan di Padang Mahsyar ialah mereka yang termasuk di dalam tujuh golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam hadith yang dibaca itu. Orang pertama yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. ialah pemimpin yang adil.
Muslimin sekalian,
Bukan senang untuk menjadi pemimpin yang adil dan melaksanakan hukum Allah. Orang yang dilantik menjadi pemimpin wajib melaksanakan hukum Allah dan keadilan Islam di dalam pemerintahannya, kerana mereka akan disoal oleh Allah terhadap pemerintahannya. Sabda Rasulullah S.A.W. dari Riwayat Al-Bukhari yang bermaksud: "Seseorang pemimpin mempunyai tanggungjawab dan akan disoal tentang tanggungjawabnya."

Keadilan Islam yang dimaksudkan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak ada yang lebih mengetahui tentang kedudukan sesuatu perkara di atas muka bumi ini melainkan Allah, kerana Allah yang menciptakan semua makhluk dan dialah yang lebih mengetahui tentang makhluk ciptaan-Nya. Allah yang menjadikan manusia dan semestinya Allahlah yang lebih tahu akan isi hati manusia, mengetahui apa yang memberi manfaat atau yang mendatangkan mudharat kepada manusia.

Kerana itulah Allah menurunkan peraturan dan ajaran yang merupakan hukum yang wajib dilaksanakan. Para pemimpin yang dilantik mestilah melaksanakan hukum-hukum tersebut. Oleh kerana tanggungjawab tersebut sangat berat, dan orang-orang yang menjadi pemimpin akan berhadapan dengan ujian dan tentangan, sama ada dalam dirinya sendiri atau dari luar, seperti musuh-musuh Islam dan mereka yang membenci kepada hukum Islam, maka pemimpin yang sanggup melaksanakan hukum Islam dan tidak menghiraukan tentangan-tentangan tersebut, tentulah mendapat ganjaran yang besar daripada Allah.

Antara ganjaran yang besar ialah akan diselamatkan oleh Allah di hari akhirat nanti, yang sudah tidak ada lagi perlindungan daripada sesama makhluk, melainkan perlindungan daripada Allah sahaja. Sementara pemimpin-pemimpin yang melakukan kezaliman dengan tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka akan menerima ancaman daripada Allah, mereka yang meninggalkan hukum Allah mungkin kerana godaan nafsu di dalam dirinya, atau godaan syaitan yang sentiasa membisikkan di dalam hatinya, atau kerana takut ancaman daripada musuh-musuh Islam.

Sekiranya ada pemimpin yang seperti ini, mereka menerima perlantikan sedangkan mereka tidak layak, atau dipengaruhi oleh berbagai-bagai pihak sehingga meninggalkan amanah melaksanakan hukum Islam, maka dengarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. daripada riwayat Al-Bukhari yang bermaksud: "Tidak ada pemimpin yang memimpin umat Islam, kemudian mereka mati dalam menipu mereka, melainkan Allah mengharamkan ke atas syurga."
Betapa besarnya amanah pemimpin, sehingga Allah S.W.T. menjanjikan pahala yang besar dan keselamatan di hari akhirat, sekiranya pemimpin itu berjaya melaksanakan tanggungjawabnya yang diamanahkan oleh Allah. Beratnya amanah seorang pemimpin, sehingga Allah S.W.T. memberi amaran kepada pemimpin yang zalim dengan azab yang pedih di hari akhirat, sekiranya tidak melakukan keadilan yang terkandung di dalam hukum Islam.


Di antara tanda-tanda pemimpin yang tidak melakukan keadilan Islam ialah
1. Apabila masyarakat tidak lagi mengambil berat tentang ajaran Islam.
2. Maksiat berlaku dengan berleluasa.
3. Perintah menyuruh kepada perkara ma’ruf dan mencegah kepada perkara-perkara yang mungkar tidak lagi dilaksanakan di dalam masyarakat.

Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Riwayat Al-Bukhari yang bermaksud:

 "Demi diriku yang berada di dalam genggamannya, hendaklah kamu menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah daripada perkara yang mungkar, atau (sekiranya kamu tidak melakukannya) Allah akan mengenakan hukumannya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa, sedangkan doa kamu tidak diperkenankan oleh Allah."

Menyuruh perkara baik dan mencegah perkara mungkar merupakan satu perintah Allah di dalam al-Quranul Karim. Firman Allah dari Surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah daripada perkara mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Kemungkaran yang amat besar yang dibiarkan berlaku di dalam masyarakat antaranya ialah meninggalkan hukum hakam dan ajaran Islam di dalam sistem pemerintahan. Akibat daripada tidak dilaksanakan hukum Islam maka lihatlah jenayah berlaku dengan tidak terkawal. Pembunuhan menjadi-jadi, rompakan bersenjata bertambah hari demi hari, gejala kerosakan akhlak muda-mudi tidak dapat dibendung lagi, dan berbagai-bagai lagi masalah di dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment